Al-Fajr Ayat 21 Hingga 30


 

 

Tafsir Juzuk Amma

Surah Al-Fajr Ayat 21-30


Bacaan Surah Al-Fajr Ayat 21-30 Oleh Ustaz Shamsuri

Terjemahan Ayat 21-30


21. Jangan ( berbuat demikian ). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut
22. dan datanglah Tuhanmu ; sedangkan Malaikat berbaris-baris.
23. dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah manusia namun tidak berguna lagi mengingati yang demikian itu bagi mereka.
24. Dia mengatakan : Alangkah baiknya jika aku dahulu mengerjakan ( amal saleh ) untuk hidupku ini.
25. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyiksa seperti siksaNya,
26. dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatanNya.
27. Hai nafsu muthma'inah ( jiwa ) yang tenang,
28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas, lagi diredhaiNya,
29. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hambaKu.
30. dan masuklah ke dalam syurgaKu..

 
Tafsir :

Pada ayat 21. sehingga 30. di dalam surah Al-Fajr ini Allah SWT menceritakan tentang hal ehwal kejadian yang bakal terjadi di alam akhirat kelak.

21. Jangan ( berbuat demikian ). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut
22. dan datanglah Tuhanmu ; sedangkan Malaikat berbaris-baris.

Allah SWT mengingatkan kepada manusia sekeliannya bahawa janganlah mereka sekali-kali merasai dan mengakui untuk menjadi orang yang baik-baik hanya dengan percakapan mulut sahaja sekiranya tanpa disertai oleh amal perbuatan.
Bahkan Allah SWT mengingatkan hambanya supaya jangan menjadi lalai sehingga tidak mempedulikan agama dan segala perintah Illahi. Walau sekarang ini semasa di atas dunia, manusia menempuhi hidup yang berbagai-bagai. Ada di antara mereka yang hidup di dalam penuh kemanjaan dan kesenangan, dan ada pula yang mengalami hidup yang serba kemiskinan dan kesukaran, hendaklah mereka sentiasa taat kepada hukum Allah dan tidak lalai daripada petunjukNya.
Namun akan tiba masanya apabila bumi dirosakkan dan digoncangkan berturut-turut, iaitu di mana berlakunya kiamat yang membinasakan alam dunia ini.
Maka pada hari itulah datang Allah - Tuhan kepada segala manusia, dengan jelas dan nyata kebesaran dan kehebatan makamNya, di samping Malaikat yang bersaf-saf dan berbaris-baris.

23. dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah manusia namun tidak berguna lagi mengingati yang demikian itu bagi mereka.
Lalu pada hari itu juga diperlihatkan kepada manusia semuanya neraka jahanam. Maka ketika itu sedar dan insaflah diri mereka itu oleh kelalaian dan penderhakaan yang pernah mereka tunjukkan dahulu semasa hidup di atas dunia.
Sungguhpun begitu segala penyesalan sudah tidak berguna lagi kerana pada waktu itu bukan lagi masa untuk memperbaiki keadaan dan nasib yang bakal mereka tanggung, sekalipun manusia menjadi amat sedar dan insaf.

24. Dia mengatakan : Alangkah baiknya jika aku dahulu mengerjakan ( amal saleh ) untuk hidupku ini.
Ketika itu manusia hanya mampu untuk berkata dengan penuh kesedihan dan kesalan yang amat tidak terperinya :
Sungguh malang dan celaka nasibku ! Mengapakah telah aku lupakan hari akhirat ini. Alangkah baik dan beruntung kalau sekiranya aku semasa di dunia dahulu aku berlaku taat dan patuh untuk mengecap kebahagian di akhirat ini.

25. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyiksa seperti siksaNya,
Pada hari akhirat nanti semua manusia akan menerima balasan sesuai dengan amalan yang dilakukan mereka semasa di dunia dahulunya. Maka di ketika itu, Allah SWT akan melakukan dan menjalankan hukuman azab dan seksaNya dengan cara yang tidak terkuasa bagi seorang raja di dunia ini melakukannya. Pendekata azab pedih yang diuntukkan oleh Allah itu maha dahsyat sehingga tidak boleh tergambar dan tiada tolok banding pedihnya.

26. dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatanNya.
Bahkan tidak terkuasa seorang raja di dunia ini yang mampu menyamai cara Allah SWT melakukan seksa dengan membelenggu dan mengikat terhadap manusia yang ingkar kepadaNya.
Setelah memberi peringatan yang mengentarkan seperti di dalam ayat-ayat di atas pada manusia yang baik-baik dan beriman, maka pada ayat selanjutnya ini Allah menerangkan tentang balasan dan penghargaan yang bakal diterima kepada manusia yang patuh dan menurut perintah-perintahNya.

27. Hai nafsu muthma'inah ( jiwa ) yang tenang,
Maka di dalam ayat 27. ini, Allah Ta'ala menyeru kepada manusia yang baik-baik. Iaitu yang mempunyai rohani dan nafsu yang bersih lagi suci serta tetap dan tenang disebabkan mereka ini sewaktu di dunia dahulunya lebih mengutamakan keuntungan rohani daripada keuntungan jasmani.
Orang-orang ini tidak lupa untuk tunduk syukur, berbuat ihsan dan kebajikan di waktu dirinya kaya, dan tidak pula jatuh di dalam kesesatan atau penderahakaan di kala ia miskin dan melarat. Malah sentiasa jua ia tunduk dan taat dengan tidak melupakan Tuhannya di dalam apa hal dan keadaan.

28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas, lagi diredhaiNya,
Seterusnya ayat 28.) menunjukkan tentang keredhaan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang pernah berlaku taat dan patuh kepada perintahNya semasa di dunia. Maka Allah SWT dengan penuh keredhaan menyeru manusia yang beriman ini kembali untuk menghadapNya untuk menikmati balasan yang setimpal dengan amal perbuatan mereka.

29. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hambaKu.
30. dan masuklah ke dalam syurgaKu..
Akhir sekali di dalam ayat 29. dan 30. Surah Al-Fajr ini, Allah SWT memberikan apa yang dijanjikan kepada hamba-hambaNya yang beriman dengan balasan yang dicita-citakan mereka, iaitu syurga. Di dalamnya manusia akan menikmati segala satu macam yang ia inginkan sekali pun apa yang boleh dikecapi itu belum pernah terlihat oleh mata mereka , belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pula pernah terlintas di hati mereka semasa di dunia dahulunya.